Monday, July 9, 2007

Otaku's Dream....

iPhone mania melanda

OLEH MOHD. KHUZAIRI ISMAIL


iPhone mempelopori konsep gajet tanpa butang fizikal pertama dunia.

AWAL bulan ini, Grant Johnson, 41, seorang akauntan dari Brooklyn sanggup mengambil cuti dan beratur sejak awal pagi sehari sebelum iPhone dijual di salah sebuah kedai Apple di Fifth Avenue, San Francisco, Amerika Syarikat.

Dalam barisan yang sama, Brandon Sunders, 16, yang sanggup menyisihkan wang belanja persekolahan selama beberapa bulan serta melupakan hadiah ulang tahunnya turut bersengkang mata semata-mata untuk menjadi pembeli terawal gajet iPhone itu.

Di pusat membeli-belah Silicon Valley pula, Steve Woniak bertemankan skuter Segwaynya tiba seawal pukul empat pagi untuk menjadi orang pertama memiliki gajet itu.

Menariknya, Woniak adalah seorang kakitangan Apple dan mengikut perjanjian Ketua Pegawai Eksekutifnya, Steve Jobs, setiap kakitangan syarikat itu secara automatik akan menerima gajet tersebut selewat-lewatnya bulan depan sebagai tanda terima kasih atas usaha cemerlang mereka.

Lantas, apakah sebenarnya yang mendorong kegilaan orang ramai terhadap produk terbaru Apple ini?

Ketika pertama kali memperkenalkan iPhone Januari lalu sewaktu berucap pada persidangan tahunan Macworld 2007, Jobs secara spontan mengeluarkan gajet itu dari poket seluar jeans yang dipakainya.

Ia lantas disambut dengan tepukan dan sorakan daripada hadirin yang sebelum itu sudah dikhabarkan bahawa iPhone akan dipertontonkan pertama kali kepada mereka.

Tidak mahu hadirin terus tertanya-tanya, Jobs lantas mengoperasikan iPhone itu dan menelefon sebuah kedai kopi dan memesan 4,000 minuman untuk tetamu Macworld ketika itu.

Biarpun hanya gurauan, ia setidak-tidaknya membuktikan bahawa gajet itu benar-benar wujud dan berfungsi, sekali gus memulakan penantian besar di kalangan peminat teknologi.

Perkara lain yang menjadikan iPhone ini sangat unik dan istimewa ialah perbezaan ketara yang dimilikinya berbanding mana-mana telefon bimbit yang ada di pasaran ketika ini.

Ia mempelopori wajah baru sebuah gajet tanpa butang dan navigasi yang secara keseluruhannya dilakukan di atas skrin sesentuhnya sekali gus membolehkannya dilabelkan sebagai gajet masa depan.

Antara mukanya ditampilkan dengan teknologi terkini dan dilengkapi perisian yang disifatkan Jobs sebagai lima tahun ke hadapan berbanding telefon lain.

Biarpun dengan dimensi saiz yang sangat nipis iaitu kurang daripada setengah inci (1.3 sentimeter), iPhone masih mampu menawarkan tiga perkhidmatan dalam satu iaitu sebagai pengakses Internet, pemain muzik dan kamera digital.

Malah, iPhone turut memiliki gen iPod yang cemerlang dalam menawarkan kelebihan muzik antaranya fungsi Cover Flow yang memungkinkan pengguna menjelajah koleksi album berdasarkan kulit album.

Dengan saiz skrin besar iaitu 3.5 inci, iPhone turut menawarkan kamera 2.0 megapiksel serta pilihan capaian kepada jaringan lengkap termasuk GSM quad-band, EDGE, Wi-Fi dan Bluetooth 2.0.

Reka bentuknya juga cukup sempurna dengan warna klasik hitam menawan dan sesuai pula digayakan bukan sahaja oleh golongan remaja malah mereka yang bergelar profesional.

Ia juga dilancarkan dalam dua versi iaitu dengan kapasiti memori terbina dalam sebesar 4Gigabait (GB) berharga AS$499 dan 8GB (AS$599).

Untuk pasaran Asia, tidak ada tarikh yang tetap bilakah iPhone ini akan dijual namun ia dijangka selewat-lewatnya awal tahun depan.



No comments: