Monday, July 9, 2007

Cabaran Peniaga Melayu di Bumi Sendiri

petikan dari forum Utusan Malaysia 9 Julai 2007




Selamatkan peniaga Melayu

Pada 19 April 2007 lalu, Utusan Malaysia menyiarkan berita mengenai peniaga bumiputera premis Levi’s/Dockers yang berniaga sejak sembilan tahun lalu diberi notis keluar oleh pengurusan Suria KLCC tanpa sebab.

Syarikat tersebut mencatat jualan RM5 juta setahun dan membayar sewa kira-kira RM500,000 setahun.

Beberapa pihak seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) telah melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pengurusan Suria KLCC.

Hanya dengan campur tangan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, barulah pengurusan Suria KLCC menarik balik tindakan asalnya.

Inilah hakikat keadaan yang dihadapi ramai pengusaha bumiputera di Suria KLCC. Daripada 325 premis perniagaan di Suria KLCC, sekitar 10 peratus melibatkan usahawan bumiputera.

Kadar penutupan premis perniagaan bumiputera adalah sekitar dua, tiga unit setiap tahun, sama ada kerana diberi notis keluar atau dibebani kenaikan sewa yang melampau.

Pengusaha bumiputera minta agar pihak berwajib mengambil tindakan munasabah untuk membela kepentingan mereka yang berniaga di situ.

Saya sendiri menjalankan perniagaan Restoran Kelantan Delights di Aras 4, Suria KLCC sejak 1997. Tempoh perniagaan saya di Suria KLCC akan ditamatkan pada Ogos 2007.

Pihak pengurusan Suria KLCC ada menawarkan perjanjian sewa yang baru tetapi telah menetapkan beberapa syarat baru, selain yang sedia ada. Antaranya ialah:

“Menaikkan sewa hampir 50 peratus lagi iaitu dari RM360,000 setahun kepada RM520,000 setahun. (Padahal, kadar sewa telah naik 100 peratus dalam tempoh enam tahun. Pada 2001, sewa adalah RM180,000 setahun dan sekarang RM360,000 setahun).

“Kos mengubah suai keseluruhan premis pula ditanggung sepenuhnya oleh penyewa (yang saya anggarkan antara RM600,000 hingga RM700,000).

Tindakan pengurusan Suria KLCC ini bagaikan usaha untuk ‘menghalau’ perniagaan saya keluar dari kompleks tersebut.

Padahal sepanjang menjalankan perniagaan di sini, saya tidak mempunyai masalah membayar sewa, gaji atau stok. Saya sudah melabur modal yang besar untuk berniaga di Suria KLCC.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk kegawatan ekonomi (1998-2001), SARS dan selesema burung (2002-2004) serta persaingan dari restoran-restoran lain, saya masih mampu menjalankan perniagaan yang menguntungkan.

Perniagaan saya mempunyai track record yang baik. Restoran Kelantan Delights mendapat sambutan baik daripada pelanggan tempatan serta luar negara dan antara yang paling sesak setiap bulan Ramadan.

Antara milestones restoran ini adalah menerima jemputan pengurusan Harrods London untuk mengadakan pameran makanan di Harrods London selama seminggu pada 1998 dan dipilih sebagai ‘Best Halal Malay Restaurant’ bagi tahun 2005-2006 oleh Halal Journal.

Restoran Kelantan Delights juga mendapat liputan dalam media massa tempatan dan asing termasuk Australia, Jepun, Rusia dan Arab Saudi. Terbaru, restoran ini dipilih untuk program pembangunan francais di bawah Perbadanan Nasional Berhad (PNB).

Untuk berniaga di lokasi berprestij seperti Suria KLCC memerlukan keberanian. Namun sewa yang terlampau tinggi atau syarat yang menyesakkan boleh membunuh sesuatu perniagaan.

Sebagai peniaga, saya memahami jika sewa perlu dinaikkan tetapi peningkatan sewa yang begitu mendadak dan tidak munasabah amat membebankan.

Pada waktu ini pun, saya beroperasi sebagai restoran Melayu terakhir di Suria KLCC. Kita bangga dengan ketinggian bangunan ini, tetapi berapa orang yang sedar bahawa dalam bangunan ini hanya tinggal satu sahaja restoran Melayu dalamnya.

Bayangkan, dalam negara kita meraikan 50 tahun kemerdekaan tahun ini, hanya ada sebuah restoran Melayu di bangunan ikon kebanggaan negara dan rakyat Malaysia. Ini satu senario yang memalukan.

Satu-satunya restoran Melayu di Suria KLCC, selain Kelantan Delights iaitu Restoran Senja telah ditutup kira-kira dua tahun lalu.

Justeru, kerajaan sebagai payung perniagaan Melayu dan menjaga hak kepentingan bumiputera perlu memantau keadaan yang dihadapi peniaga bumiputera di Suria KLCC.

Berilah peluang untuk kami terus berniaga di Suria KLCC dengan kadar sewa yang munasabah. Janganlah semangat, perniagaan dan pelaburan kami dimusnahkan dengan sewa yang terlalu tinggi.

Kami tidak mohon bantuan kewangan atau wang ringgit, cuma mohon peluang dan meminta agar kebajikan kami dibela.

Matlamat saya berniaga di Suria KLCC ialah untuk membangunkan jenama restoran Melayu yang kukuh dan berpotensi untuk dibuka di luar negara dan difrancaiskan.

Saya ingin menyahut cabaran pemimpin negara dan tuntutan semasa untuk membuktikan saya boleh berjaya.

Hasrat dan matlamat kami berjihad dalam bidang ekonomi hanya akan berhasil andainya diberi ruang untuk bernafas dan berpeluang untuk sama-sama menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara.

– JUHAIDI ABDULLAH,

Kelantan Delights Sdn. Bhd.

Kuala Lumpur.

No comments: