Oleh Mowardi Mahmud dan Daliza Ariffin
|
Jamaludin Ibrahim. |
KUALA LUMPUR 8 Julai – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Maxis Communications Bhd. (Maxis) Datuk Jamaludin Ibrahim menyifatkan bukan sesuatu yang mudah untuk bekerja dengan tokoh korporat terkemuka dan pemilik Maxis, T. Ananda Krishnan.
Ananda, orang kedua terkaya di Malaysia, juga sentiasa mementing kesempurnaan dan melihat tiada yang mustahil untuk dilakukan.
Bagaimanapun, beliau berkata, Ananda banyak membantu beliau dan juga pihak pengurusan dalam menerajui Maxis untuk mencapai tahap sedia ada.
Jamaludin menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa persaraan beliau itu adalah alasan kepada usaha menyingkirkannya daripada syarikat terkemuka di negara ini.
Jamaludin, 48, dalam satu temu bual di pejabatnya berkata, beliau telahpun memikirkan tentang persaraannya dari syarikat itu selama setahun setelah menerajui Maxis selama 10 tahun sehingga berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia.
Jamaludin menyertai Maxis pada tahun 1997 dan menjadi CEO pada tahun 1998 pada usia 39 tahun. Beliau mengambil tiga tahun untuk menjadikan syarikat telekomunikasi itu peneraju pasaran.
Beliau yang pernah bergiat dalam dunia teknologi maklumat sekitar 16 tahun sebelum menyertai Maxis, berkata, sudah tiba masa untuk beliau berundur dan orang lain pula membawa Maxis yang dimiliki oleh Krishnan, ke dalam fasa pertumbuhan lebih tinggi lagi.
Jamaludin yang masih belum memutuskan tentang apa yang dilakukan seterusnya, berkata, tindakan beliau bersara juga dibuat selepas berasa Maxis telahpun berada dalam kedudukan yang kukuh.
Katanya, Maxis mempunyai pasukan pengurusan yang mantap untuk mengendalikan syarikat telekomunikasi itu meskipun dirinya tidak lagi menjadi peneraju.
Berikut adalah temu bual antara Utusan Malaysia dengan Jamaludin mengenai keputusannya untuk bersara, pandangannya tentang Ananda, perkembangan tentang industri telekomunikasi dan masa depan Maxis.
Utusan Malaysia: Apakah reaksi yang Datuk terima selepas mengumumkan persaraan dalam Maxis?
Secara amnya, mereka berasa terkejut terutama mereka yang selalu bersama saya sejak 10 tahun lalu.
Adakah reaksi sedemikian dijangkakan?
Ya, saya tidak pernah bercerita mengenainya dalam banyak majlis yang saya hadiri selama beberapa bulan lalu.
Apa perasaan Datuk ketika membuat keputusan itu?
Saya telah fikirkannya sebelum ini selama setahun lalu dan saya tidak buat keputusan ini secara mengejut sebaik sahaja bangkit dari tidur tetapi saya telah fikirkannya dalam tempoh yang panjang dan tiada desakan bagi saya ketika itu. Tetapi bila tiba harinya, saya didatangi juga rasa ragu-ragu dan bertanya adakah ini satu keputusan yang betul untuk syarikat dan bagi saya.
Adakah keputusan ini tepat?
Masa akan menentukannya. Saya berharap syarikat (Maxis) akan terus berjaya dan bagi saya, ini adalah keputusan yang tepat.
Apa alasan sebenarnya?
Pertama, dalam aspek perniagaan, saya telah berada dalam syarikat ini selama 10 tahun dan sepanjang tempoh itu melalui kegawatan ekonomi, saat yang sukar untuk kukuhkan jenama sehinggalah menjadi syarikat nombor satu pada tahun 2000 dan kemudiannya disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) serta mengembangkan perniagaan ke India dan Indonesia.
Kalau saya fikir semula, semua itu adalah fasa untuk membangunkan syarikat dan fasa kedua adalah mengembangkan operasi dan miliki syarikat lain di India dan Indonesia.
Fasa ketiga pula, adalah bagaimana membangunkan syarikat di luar negara dan di Malaysia pula mengembangkan khidmat jalur lebar. Bagi sebuah syarikat global, ini adalah masa yang sesuai untuk menukar ketua mereka. Maxis perlukan ketua yang mempunyai banyak idea baru dan segar selain kumpulan pengurusan yang baru.
Kedua, saya menyertai industri telekomunikasi dan teknologi maklumat selama 26 tahun dan ia merupakan satu bidang terlalu pantas berkembang. Industri itu bergerak terlalu pantas sekarang dan Maxis telah lancarkan 140 produk dalam tempoh dua tahun dan keadaan yang ada sungguh mencabar kerana kami perlu melihat prestasi syarikat pada setiap suku tahun (bukan tahunan seperti mana kebiasaan syarikat lain) dan saya telah melalui selama 40 sukuan tahun. Oleh itu, saya perlukan rehat seketika.
Terdapat pihak menyifatkannya sebagai ‘usaha menyingkirkan’ Datuk keluar Maxis?
Tidak tahulah, kalau adapun saya tidak peka, tetapi selama ini saya mendapat sokongan daripada pemegang saham, malah, mereka mahukan saya kekal dalam Maxis sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dan juga dalam Binariang GSM Sdn. Bhd.
Bila Datuk menyatakan hasrat bersara, apakah reaksi Ananda?
Beliau juga bertanya seperti mana anda tanya. Tapi, lebih baik saya tidak jelaskan lebih lanjut kerana ia perbincangan peribadi. Secara amnya, beliau mahukan saya teruskan khidmat saya.
Kenapa keputusan bersara ini dibuat selepas cadangan Maxis diswastakan?
Saya fikirkan perkara ini (bersara) sejak setahun yang lalu tetapi masa itu ada rasa ragu-ragu, tetapi ia bukannya berkait langsung dengan penswastaan Maxis. Pendekatan (penswastaan) itu paling penting untuk bangunkan syarikat pada masa depan dalam membawa Maxis ke dalam fasa seterusnya. Saya berasa puas sekarang kerana masalah isu pembiayaan operasi di Indonesia sudah selesai dan Saudi Telecoms Co. (menguasai 25 peratus kepentingan dalam Binariang) melabur lebih daripada apa yang kami jangkakan.
Sebelum ini, adakah Datuk menjangkakan Maxis akan diswastakan?
Saya tidak menjangka langsung, masa kami merancang untuk mengembangkan operasi syarikat, kami melihat kepada pelan induk jangka panjang dan pelaburan yang diperlukan terlalu besar, jadi kami berbincang ke arah membuat terbitan awam (IPO) di India atau cari jalan untuk pembiayaan melalui terbitan bon.
Bagi kami pembiayaan adalah isu yang penting dan ketika itu, tidak terdetik dalam hati saya, ia akan diswastakan tetapi ia (pengumumannya) merupakan jawapan kepada persoalan kami (mendapatkan pembiayaan tanpa perlu berdepan dengan kebimbangan harga saham terjejas) sebelum ini.
Jadi Datuk tidak menerima hint (petanda) daripada Ananda?
Langsung tidak sebab ia dilakukan secara drastik.
Apa yang dirasakan ketika menerima pengumuman tersebut?
Saya terperanjat. Pada mulanya keliru juga tetapi setelah diterangkan dengan terperinci mengapa ia dilakukan dan saya memahaminya bahawa ini adalah cara yang terbaik untuk mengembangkan syarikat untuk fasa akan datang.
Adakah Datuk akan memasuki dunia korporat selepas ini?
Saya belum buat keputusan lagi, saya tidak fikirkan apa-apa lagi kerana selepas bersara saya ingin membaca buku, berjumpa rakan-rakan, luangkan masa dengan keluarga. Selepas fikiran saya tenang, barulah saya akan tentukan rancangan seterusnya sama ada ke dunia korporat atau mulakan perniagaan sendiri atau menjadi pensyarah kerana sebelum ini saya mempunyai cita-cita sedemikian ataupun menjadi pemain golf profesional.
Jika mulakan perniagaan atau memasuki dunia korporat, adakah Datuk akan memilih bidang ini juga atau bidang lain?
Kalau perniagaan sendiri mungkin bukan dalam bidang telekomunikasi dan saya tidak akan lakukannya untuk bersaing dengan Maxis.
Berapa lama masa diperlukan untuk memikirkan perancangan terbaru itu?
Tidak tahu...mungkin tiga atau enam bulan ataupun lebih.
Sepanjang khidmat Datuk, apakah saat yang paling menggembirakan?
Banyak tetapi yang terbaik ketika akhir tahun 1998, kami memperoleh pelaburan besar dari British Telecom. Pada ketika itu berlaku kegawatan ekonomi yang teruk, kami terpaksa bekerja keras dan terpaksa menutup pelbagai operasi.
Keduanya, pada tahun 2000 kami dikenali sebagai syarikat nombor satu dalam industri meskipun ada tujuh operator telekomunikasi lain di pasaran.
Ketiganya, kami berjaya menyenaraikan Maxis di Bursa Saham Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Bursa Malaysia).
Apakah pula saat-saat yang paling sukar?
Paling menyentuh perasaan ialah ketika saya terpaksa memberhentikan kira-kira 300 pekerja semasa kegawatan. Kami juga sepatutnya menyenaraikan syarikat pada tahun 1997 tetapi ia ditangguhkan dan pinjaman kami dalam tempoh jangka pendek juga terjejas, oleh itu kami terpaksa batalkan operasi talian tetap dan ramai pekerja daripada bahagian itu terpaksa diberhentikan.
Saya tidak boleh buat apa-apa. Ada pekerja yang menghantar surat rayuan dan datang menangis berjumpa saya, saya tidak boleh buat apa-apa dan bagaimana saya hendak melaluinya, saya tidak mahu buat itu lagi (terpaksa memberhentikan pekerja).
Berapa lama Datuk mengambil masa untuk menenangkan diri selepas kejadian itu?
Dalam dua hingga tiga bulan juga.
Apakah perkara yang sekiranya diberikan peluang Datuk akan lakukan semula?
Sepatutnya kami telah mengembangkan perniagaan ke luar negara lebih awal kerana ketika itu ia lebih murah dan kurang persaingan. Kami pernah bercadang ke arah itu tetapi tidak melakukannya secara agresif, jika kami buat pada masa itu, Maxis mungkin menjadi syarikat lebih besar.
Adakah Maxis berkembang seperti mana yang dijangkakan?
Secara jujurnya saya berasa bertuah kerana berada dalam syarikat yang betul dan saya tidak pernah bayangkan Maxis berada dalam keadaan sekarang yang merupakan syarikat bernilai RM8 bilion dan memiliki keuntungan bersih sebanyak RM2 bilion serta RM40 bilion pasaran modal.
Pada awalnya, saya hanya mahu bekerja dalam syarikat yang cepat berkembang.
Apa yang menyumbang kepada kejayaan Maxis?
Pertama, pekerjanya terdiri daripada mereka yang terbaik tidak kira sama ada pekerja tempatan atau luar negara ataupun mereka yang berada di luar industri. Bagi Maxis, kami memberi peluang kepada mereka yang terbaik meskipun ia berbeza dari segi negara asalnya, kehidupan dan kerakyatan.
Kedua, kami ada budaya yang diturunkan secara langsung daripada pemegang saham utama kepada lembaga pengarah dan syarikat. Kami kenalinya sebagai budaya cemerlang.
Pemegang saham sentiasa berasa tidak berpuas hati dengan pencapaian sedia ada dan tiada yang boleh memberikannya kepuasan dan tiada mustahil bagi pemegang saham itu.
Bagi saya, budaya itu ada baik dan buruknya. Ia memaksa kami membuat sesuatu perkara ke tahap maksimum, sekiranya budaya ini diamalkan, ia adalah baik kepada negara.
Berapa kerap pemegang saham utama (Ananda) membuat keputusan untuk Datuk?
Selalunya ketika membabitkan pelaburan yang besar di luar negara yang menelan belanja berbilion ringgit.
Adakah Datuk rasa terganggu?
Kadang-kadang ya, saya berasa ia memberi tekanan tetapi saya menganggap ini bukan perniagaan ‘kacang putih’ tetapi melibatkan pelaburan berbilion ringgit. Saya tidak mahu buat silap dan ia (keputusan daripada pemegang saham utama) adalah perlu untuk membantu ketika buntu. Saya akui ada masanya ia mengganggu tetapi ia juga penting kerana saya tidak mampu menguruskan syarikat ini seorang diri.
Apa pendapat Datuk terhadap pemegang saham (Ananda)?
Beliau adalah perfectionist (orang yang mementingkan kesempurnaan). Beliau mahu kami mencapai sesuatu bukan sekadar ok (baik) sahaja tetapi kena bekerja keras untuknya. Kami tidak boleh berasa baik sahaja, sebaliknya kami terpaksa memaksa diri untuk mencapai ke tahap jauh lebih baik lagi. Baginya (Ananda), sekiranya kami sudah mencatat rekod dunia, itu masih belum cukup berjaya lagi, tetapi sikap yang begitulah membuatkan syarikat (Maxis) lebih kuat.
Apa harapan Datuk terhadap Maxis?
Saya berharap Maxis akan menggandakan saiznya dalam tempoh lima tahun akan datang dengan pelaburan sebanyak RM10 bilion hingga RM15 bilion untuk Malaysia, India dan Indonesia.
Bagaimana Datuk melihat perkembangan semasa industri telekomunikasi?
Ia terlalu kompetitif dan matang serta maju ke depan kerana terlalu banyak produk dilancarkan sekarang. Pasaran Malaysia banyak melancarkan produk yang pertama di rantau ini atau sekiranya lewatpun ia hanya babitkan jarak masa setahun sahaja seperti 3G.
Kita sudah bersedia dengan WiMax dan sekiranya ia dilancarkan mungkin menjadikan Malaysia antara negara pertama melancarkan di dunia, tetapi bagi jalur lebar kita agak kebelakang.
Bagi pasaran tempatan, adakah Maxis melihatkan DiGi sebagai syarikat pesaing yang lebih agresif dalam bidang promosi?
Kami anggap semua pesaing adalah ancaman meskipun syarikat itu adalah kecil yang boleh memberi tekanan kepada kami.
Saya akui tentang aktiviti (promosi agresif) DiGi itu tetapi kami merupakan pemain pasaran yang baik dan kami, adakalanya tidak boleh terlalu agresif. Kami tidak boleh bersaing dari segi harga tetapi akan bersaing berdasarkan mutu perkhidmatan dan produk.
+very fishy.... :)