Friday, June 1, 2007

2 Breaking News This Week

Sigh..banyak hari tak menulis di sini.adakah aku ini hangat2 chicken shit sahaja menulis blog. mungkin ya hehehe.so this week there are 2 news that really caught my attention.1st is lina joy case on her converting her religion and her request on 'erasing' the Islam word on her MyKad. 2nd is the accident that happens few days ago.

Quoted from Utusan Malaysia:

Lina Joy gagal dalam rayuan gugur perkataan Islam

PUTRAJAYA 30 Mei - Azlina Jailani, wanita yang menukar agama ke Kristian, gagal
dalam rayuannya hari ini untuk mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan untuk
memaksa Jabatan Pendaftaran Negara memadamkan perkataan "Islam" dari kad
pengenalannya.

Dalam keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Azlina, 42,
yang telah menukar namanya kepada Lina Joy, perlu mendapatkan sijil pengisytiharan
daripada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dia tidak lagi menganut agama Islam
sebelum JPN boleh menggugurkan perkataan "Islam" dalam kad pengenalannya.
Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata, JPN berhak untuk
menggenakan syarat kepada Lina Joy memintanya mengemukakan sijil atau deklarasi atau
satu perintah daripada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dia keluar daripada Islam
sebelum bertindak menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya.
Ahmad Fairuz dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Sherif menolak rayuan
itu, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum, membenarkan
deklarasi yang dipohonnya.

Lina mengemukakan rayuan itu kepada Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan
membuat keputusan pada 19 Sept., 2005 menghalangnya daripada menggugurkan perkataan
"Islam" dari kad pengenalannya dengan alasan bahawa tindakannya keluar daripada
Islam tidak mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa Islam
yang lain.

Permohonan kepada Mahkamah Rayuan itu dilakukan setelah Mahkamah Tinggi, pada April
2001, menetapkan bahawa sebagai seorang Muslim, dia tidak boleh keluar daripada
Islam, dan soal keluar daripada Islam, perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah.
Lina menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, kerajaan Malaysia dan Ketua
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad, sebagai responden.
Pada 2 Feb., 1997, dia memohon kepada JPN untuk menukar namanya kepada Lina Joy
dengan alasan dia telah menganut agama Kristian, tetapi permohonan itu ditolak pada
11 Ogos, 1997. - Bernama


quoted from Harakahdaily:

Kes Lina Joy: PAS sambut baik keputusan mahkamah

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Hrkh) - PAS melahirkan kesyukuran di atas keputusan majoriti hakim 2:1 menolak permohonan Azlina Jailani (Lina Joy), 42, untuk membuang status agamanya daripada kad pengenalan beliau.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa sewaktu dihubungi Harakahdaily mengucapkan syukur kerana keputusan tersebut memberi satu imej terhadap Islam di samping akan terus menjadi titik tolak dalam mempertahankan akidah dan syariat Islam.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin berpendapat keputusan tersebut merupakan suatu keputusan lebih daripada keputusan biasa serta mengharapkan mudah-mudahan pihak mahkamah yang terlibat dengan keputusan tersebut dirahmati dan diberkati Allah.

"Menyelamatkan seorang muslim daripada murtad suatu jihad yang besar. Keputusan menolak permohonan Lina Joy untuk membuang perkataan Islam daripada kad pengenalan adalah sebahagian daripada usaha yang dilakukan mahkamah. Sepatutnya apabila mahkamah membuat keputusan tersebut, Lina Joy seharusnya meneliti semula serta menginsafi apa yang telah dilakukannya.

"Agama bukan mengikut perasaan dan mengikut kepentingan. Agama berkaitan dengan ketuhanan. Apabila berkaitan dengan ketuhanan, asasnya berdasarkan kepentingan dan kemahuan. Kepentingan dan kemahuan kita dipengaruhi oleh banyak sudut sedangkan agama adalah perkara kebenaran. Kebenaran pula tidak berdiri semata-mata berdasarkan kemahuan seseorang," katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily.

Justeru katanya, Lina Joy seharusnya bersikap rasional serta merujuk perkara berkaitan agama kepada ahli agama.

Katanya, jika dia tidak memahami mengenai hukum-hakam Islam, dia seharusnya rujuk kepada mereka yang arif mengenainya.

Semalam, dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bersama seorang lagi hakim Dato' Alauddin Dato' Mohd Sheriff mengetepikan permohonan Azlina,, manakala seorang lagi hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Dato' Richard Malanjun membenarkan permohonan tersebut.

Keputusan tersebut disambut dengan gemuruh takbir oleh lebih 500 umat Islam yang hadir di perkarangan Mahkamah Persekutuan. - mns



the 2nd news...

Lapan maut lori kontena rempuh kereta di plaza tol


a very graphic image..


ALOR STAR 29 Mei – Lapan orang termasuk tujuh sekeluarga terbunuh apabila sebuah lori kontena merempuh deretan kereta yang sedang menunggu untuk membayar tol, di Plaza Tol Hutan Kampung di Kilometer 41.3, Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini hari ini.

Berikut ialah senarai nama mangsa yang terbunuh dalam kemalangan ngeri itu:

1.Ilias Salleh, 54

2.Suraya Ilias, 32

3.Sawiyah Ilias, 27

4.Mohd. Azlan Ilias, 21

5.Mohd. Afif Alias, 6

6.Nurul Izzati Alias, 4

7.Uzma Danial Syahril, 1

8.Wan Rohani Wan Ibrahim, 54


Mangsa yang tercedera:

1.Umi Syakila Mohd. Sobri, 23

2.Mohd. Arif Irfan Taquidin, 6 bulan


Lapan maut lori kontena rempuh kereta di plaza tol

OlehDiyana Rose Kamalludeen

ALOR STAR 29 Mei – Lapan orang termasuk tujuh sekeluarga terbunuh apabila sebuah lori kontena merempuh deretan kereta yang sedang menunggu untuk membayar tol, di Plaza Tol Hutan Kampung di Kilometer 41.3, Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini hari ini.

Tujuh yang terbunuh dalam kereta Proton Iswara dipercayai daripada satu keluarga manakala seorang lagi ialah wanita dalam kereta Perodua Kancil di hadapannya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Zainal Abidin Kassim berkata, kemalangan membabitkan lima kenderaan itu berlaku pada pukul 4 petang, kira-kira 200 meter dari plaza tol.

‘‘Semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Polis mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan yang remuk,” katanya kepada pemberita di Bilik Mayat Hospital Alor Star (HAS) di sini.

Lori kontena dari Perai itu dipercayai dipandu laju dan gagal berhenti lalu merempuh sebuah kereta Proton Iswara di hadapannya yang dinaiki oleh tujuh sekeluarga berkenaan.

Zainal Abidin berkata, kereta Proton Iswara itu kemudian terperosok di bawah lori dan dipercayai turut diseret merempuh dua kenderaan di hadapan iaitu Perodua Kancil dan kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Pajero.

Kenderaan pacuan empat roda itu pula merempuh sebuah lori treler di hadapannya. Pemandu serta penumpang Pajero itu cedera ringan.

Tujuh beranak yang terbunuh ialah Ilias Salleh, 54, dari Kampung Baru Tasek Gelugor, Pulau Pinang, anaknya, Suraya Ilias, 32, Sawiyah Ilias, 27, dan Mohd. Azlan Ilias, 21.

Tiga kanak-kanak dalam kereta itu turut terbunuh iaitu Mohd. Afif Ilias, 6, Nurul Izati Ilias, 4, dan Uzma Danial Syahril, 1.

Seorang lagi yang terbunuh ialah penumpang Perodua Kancil, Wan Rohani Wan Ibrahim, 54, berasal dari Kampung Lubuk Batu, Wang Tepus dekat Jitra manakala dua lagi dalam kereta itu, tercedera.

Mereka ialah anak Wan Rohani yang juga pemandu kereta, Umi Syakila Mohd. Sobri, 23, yang patah kaki kanan dan seorang kanak-kanak, Mohd. Arif Irfan Taquidin, 6 bulan, yang sehingga kini tengah malam ini belum sedarkan diri.

‘‘Mayat tujuh sekeluarga itu ditemui di bahagian kerusi hadapan kereta Proton Iswara itu dipercayai akibat hentakan kuat lori kontena,” katanya.

Zainal Abidin memberitahu, siasatan awal mendapati terdapat kesan brek di tempat kejadian tetapi lori kontena itu mungkin tidak sempat mengelak kenderaan di hadapan.

Pemandu lori kontena itu yang berusia 35 tahun tidak cedera dan disoal siasat mengikut Seksyen 41.1 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.


Tujuh sekeluarga dikebumi satu liang


dalam satu liang lahad.. takziah pada keluarga mangsa..


TASEK GELUGOR 30 Mei – Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Baharu, di sini ketika pengkebumian jenazah tujuh sekeluarga yang terbunuh dalam kemalangan ngeri di Plaza Tol Hutan Kampung di Kilometer 41.3, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Alor Star, petang semalam.

Ahli keluarga, sanak-saudara, penduduk setempat dan orang ramai yang hadir tidak dapat menahan kesedihan sehingga menitiskan air mata menyaksikan upacara itu apabila ketujuh-tujuh mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad, kira-kira pukul 11 pagi ini.

Mangsa terbabit ialah Ilias Salleh, 54; anaknya, Suraya Ilias, 32; Sawiyah Ilias, 27; Mohd. Azlan Ilias, 21; serta tiga cucunya, Mohd. Afif Alias, 6; Nurul Izati Alias, 4; dan Uzma Danial Syahril berusia setahun.

Kepiluan jelas dirasai keluarga dan penduduk kampung apabila jenazah mereka yang dibawa dengan trak tentera Kem 6 Briged Rejimen Askar Melayu Diraja, Kepala Batas, Alor Star tiba di kampung tersebut kira-kira pukul 6.30 pagi.

Suami Suraya, Alias Darus, 34, dan suami Sawiyah, Syahril Baharom, 30, antara yang turut mengiringi jenazah ketujuh-tujuh mangsa ke tanah perkuburan tersebut.

Orang ramai serta saudara-mara keluarga malang itu dilihat menitiskan air mata sewaktu Alias dan Syahril menjirus air mawar ke atas pusara isteri dan anak masing-masing.

Lebih menyayat hati apabila Alias yang juga bapa Mohd. Afif dan Nurul Izati tidak dapat menahan rasa pilu sehingga terpaksa ditenangkan ahli keluarga terdekat.

Alias sebelum ini telah kehilangan anak sulungnya, Nurizati yang turut terbabit dalam nahas jalan raya pada tahun 2001 pada usia tiga tahun.

“Saya reda dengan apa yang terjadi dan menganggapnya ketentuan Allah yang mengambil sekaligus tiga orang yang amat saya sayangi. Dia lebih menyayangi mereka,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, lapan orang termasuk tujuh sekeluarga berkenaan terbunuh apabila sebuah lori kontena merempuh deretan kereta yang sedang menunggu untuk membayar tol di plaza tol tersebut.

Lori kontena dari Prai itu dipercayai dipandu laju dan gagal berhenti lalu merempuh kereta Proton Iswara yang dipandu Sawiyah menyebabkan kenderaannya terperosok di bawah lori.

Seorang lagi yang terbunuh ialah penumpang sebuah Perodua Kancil, Wan Rohani Wan Ibrahim, 54, berasal dari Kampung Lubuk Batu, Wang Tepus dekat Jitra manakala dua anaknya, Umi Syakila Mohd. Sobri, 23, dan Mohd. Arif Irfan Taquidin, 6 bulan tercedera.

Sementara itu, bekas isteri Ilias yang juga ibu kepada Suraya, Sawiyah dan Mohd. Azlan, Husni Abdullah, 52, berkata, dia mula mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku ke atas keluarganya apabila berasa resah sejak kebelakangan ini.

“Dua malam berturut-turut saya tak lena tidur, keluh kesah, hati rasa tak sedap... tapi tak tahu sebab apa, rupanya ini yang terjadi,” katanya.

Husni memberitahu, hubungannya dengan anak-anaknya amat rapat termasuk dengan bekas suaminya walaupun mereka telah berpisah sejak 15 tahun lalu.

“Mereka semua anak yang baik dan cucu-cucu saya semua tu cerdik belaka,” katanya sebak.


Pemandu lori kontena direman

ALOR STAR 30 Mei – Pemandu lori kontena yang terlibat dengan kemalangan mengorbankan lapan orang termasuk tujuh sekeluarga di Plaza Tol Hutan Kampung, Lebuh Raya Utara- Selatan, dekat sini, petang semalam ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen Alor Star, Rosmini Mat Rashid selepas polis membuat permohonan dengan membawa pemandu berusia 35 tahun berasal dari Seberang Prai itu, ke mahkamah kira-kira pukul 10 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Zainal Abidin Kasim berkata, pemandu itu ditahan malam tadi selepas dia datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star untuk membuat laporan berhubung kemalangan itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 117 Kanun Keseksaan kerana memandu dengan cuai dan mengakibatkan kematian.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara antara dua dan 10 tahun serta lesen memandu digantung dan denda antara RM5,000 dan RM20,000.

“Polis akan siasat kes ini daripada pelbagai aspek dan kita minta saksi kejadian supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, kita tidak menolak kemungkinan kemalangan itu berlaku akibat kelalaian pemandu lori kontena tersebut,” katanya.

Menurut Zainal Abidin, ujian air kencing dan darah telah dijalankan terhadap pemandu terbabit bagi mengesan sama ada dia mengambil dadah atau memandu di bawah pengaruh alkohol.

Bagaimanapun, jelas beliau, keputusan ujian tersebut masih belum diketahui.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, lapan terbunuh termasuk tujuh sekeluarga apabila sebuah lori kontena merempuh deretan kereta yang sedang menunggu untuk membayar tol di Plaza Tol Hutan Kampung di Kilometer 41.3 Lebuh Raya Utara-Selatan.

Tujuh beranak yang terbunuh ialah Ilias Salleh, 54, dari Kampung Baharu Tasek Gelugor, Pulau Pinang, anaknya, Suraya, 32, Sawiyah, 27, dan Mohd. Azlan, 21.

Tiga cucu Ilias turut terbunuh iaitu Mohd. Afif Alias, 6, Nurul Izzati Alias, 4, dan Uzma Danial Syahril, 1.

Seorang lagi yang terbunuh ialah penumpang Perodua Kancil, Wan Rohani Wan Ibrahim, 54, berasal dari Kampung Lubuk Batu, Wang Tepus Jitra yang turut dirempuh lori berkenaan.

+ i think the lorry driver is a reallly smart guy.he quickly ran to the nearest balai polis to tell about what happpen(what a responsible person he is!) he knew that if he stay there he will be eating through straw in the next day (that if he is still alive!) or he will became lauk to all the people that witness what happen!

No comments: